1.Saya amat berminat dengan tanaman secara fertigasi. Apakah yang dimaksudkan dengan tanaman fertigasi. Sekiranya saya ada tanah dan modal, bagaimanakah caranya saya boleh melaksanakan tanaman fertigasi ini?

 Fertigasi berasal dari perkataan "fertilizer" dan "irrigation" iaitu satu kaedah penanaman yang mana baja yang lengkap diberikan kepada tanaman dalam bentuk larutan dan disalurkan ke zon akar melalui sistem pengairan titis. Melalui teknologi ini, bekalan air dan nutrient yang cukup serta seimbang mengikut peringkat pertumbuhan pokok dapat dikawal dengan lebih sistematik. Ini membolehkan tanaman membesar dengan sihat serta berupaya mengeluarkan hasil yang optimum dan berkualiti tinggi.

Kebaikan Sistem Fertigasi:

Tidak memerlukan kawasan yang luas

Masa penanaman yang pendek

Kurang beban kerja berat

Penggunaan air dapat dijimatkan

Mudah kawalan penyakit dan perosak

Masalah input dapat dikawal

Hasil yang tinggi

Kurang kejutan pada anak benih

Tidak dipengaruhi oleh musim

Mesra Alam.

Sekiranya anda berminat untuk melaksanakan projek tanaman fertigasi ini, anda sebaik-baiknya hendaklah mendaftar menjadi ahli Pertubuhan Peladang Kawasan di mana tempat anda tinggal atau tanah milik anda berada. Pertubuhan Peladang Kawasan tersebut boleh membantu bagaimana untuk memulakan projek tersebut dari segi khidmat nasihat, perkhidmatan, bantuan dan kos-kos projek serta lain¬laian berkaitan. Maklumat juga boleh didapati daripada Bahagian Pengeluaran Ladang LPP Ibu Pejabat, Kuala Lumpur.

  

2.Di Kelantan dan Terengganu sekarang ini telah digalakkan menanam tanaman keledek dari varieti Vit Ato. Bolehkah jelaskan apakah potensi dan kelebihan tanaman Vit Ato ini?

 Keledek Vit Ato sesuai sesuai ditanam dipelbagai jenis tanah terutama tanah jenis Bris yang banyak didapati di Kelantan dan Terengganu. Keledek Vit Ato mempunyai kandungan beta-karotena yang tinggi, serabut diet dan vitamin C. Semua elemen ini mempunyai nilai kesihatan yang tinggi. VitAto sesuai digunakan secara segera dan juga diproses untuk dijadikan jus, produk bakeri, jejari danjuga "milk Shake".
Selain dari dari boleh dimakan segar, ia juga membantu menghasilkan produk makanan berkhasiat untuk pasaran tempatan serta berpotensi untuk ekspot (produk tanpa gandum). Ianya juga boleh menghasilkan produk gantian impot yang akan membantu program BOT.

  

3.Saya ingin tahu adakah LPP menyediakan sebarang skim atau bantuan untuk tanaman kelapa sawit ?

 Setakat ini, tiada skim atau bantuan yang disediakan untuk menjalankan projek tanaman kelapa sawit kepada Pertubuhan Peladang dan ahli. Walaubagaimanapun anda boleh mendapatkan skim atau bantuan daripada agensi yang berkaitan seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia. Selain itu, Pertubuhan Peladang juga boleh mendapatkan pinjaman atau skim khas yang disediakan oleh Bank Pertanian Malaysia untuk membiayai projek tanaman kelapa sawit.
Untuk makluman, LPP menyediakan perkhidmatan dari segi khidmat nasihat dan memantau perlaksanaan projek. LPP juga bertindak sebagai sebagai pemudahcara dengan memberi maklumat kepada Pertubuhan Peladang mengenai isu-isu terkini yang berkaitan seperti pemindahan teknologi, bantuan dan insentif yang disediakan daripada agensi-agensi lain.

  

4.Saya merupakan pekebun kecil mengusahakan tanaman kelapa sawit, saya ingin mendapatkan bantuan atau perkhidmatan seperti kredit input pertanian (baja dan racun) untuk mengusahakan tanaman tersebut dari Pertubuhan Peladang yang berhampiran dengan ladang kelapa sawit saya. Bagaimanakah cara untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut?

 Terlebih dahulu anda perlu mendaftar untuk menjadi ahli Pertubuhan Peladang kawasan dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Setelah menjadi ahli, anda layak untuk menikmati kemudahan yang disediakan. Terdapat 10 perkhidmatan yang disediakan untuk dimanfaatkan oleh ahli Pertubuhan Peladang termasuklah bekalan ladang.

  

5.Bagaimanakah cara jika saya ingin menjalankan projek tanaman padi di bawah LPP dan bagaimanakah caranya serta ciri-ciri yang perlu ada untuk menyertai Projek Padi Ke arah 10mt/ha dibawah LPP?

 Peserta projek hendaklah mendaftar sebagai ahli PPK terlebih dahulu dan mematuhi semua syarat-syarat yang dikemukakan sebelum melibatkan diri dalam projek padi dibawah LPP dan tindakan yang sama juga perlu dilakukan jika ingin menyertai Projek Padi 10mt/ha LPP. Bagi Projek Padi 10mt/ha ciri-ciri seperti kawasan jelapang padi, penanaman 2 kali setahun dan mempunyai skim pengairan yang baik perlu diambilkira sebelum menyertai projek.

  

6.Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan benih padi sah untuk semua peladang di bawah PP dan bukan PP ekoran kerajaan mewajibkan menggunakan benih padi sah untuk melayakkan mendapatkan sebarang subsidi atau insentif lain menjelang 2009?

 Bagi peladang di bawah Pertubuhan Peladang (PP), permohonan hendaklah melalui PPK masing-masing dengan mengisi borang permohonan yang menyatakan jumlah tempahan dan tarikh diperlukan. Pihak PPK hendaklah mengumpul jumlah permintaan dan tarikh diperlukan untuk dihantar kepada PPK Lahar Bubu ( salah satu pengeluar benih padi sah yang diiktiraf oleh kerajaan) untuk tujuan tempahan. Manakala bagi peladang yang bukan ahli PP, tempahan boleh dilakukan di bawah pengeluar lain yang diiktiraf seperti Jabatan Pertanian (pada 2008 sahaja), BERNAS dan FELCRA  BHD.

  

7.Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sangat menggalakkan para penternak supaya mempertingkatkan usaha-usaha pengeluaran daging lembu dan kambing dalam negara. Untuk makluman, saya mempunyai tanah belukar seluas 3 ekar dan bercadang menternak kambing. Apakah bentuk bantuan yang boleh diberikan oleh LPP atau Pertubuhan Peladang kepada peladang seperti saya untuk mendapatkan input terutamanya baka kambing bagi memulakan projek?

 LPP telah menjalankan beberapa projek pengeluaran baka kambing dan lembu melalui beberapa Pertubuhan Peladang. Bagi projek ternakan kambing, beberapa PP di negeri Terengganu telah mengadakan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan untuk mengeluarkan baka kambing Kaprima. Manakala kambing baka Boer ada diusahakan oleh PP di Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain.
Tujuan utama projek dijalankan adalah untuk mengeluarkan baka kambing untuk diagihkan kepada ahli peladang yang berminat. Peladang yang berminat perlulah menjadi ahli PP di kawasan di mana projek ternakan hendak dijalankan.
Bentuk agihan ternakan adalah melalui samada pinjaman atau pawah di mana ahli tersebut perlu mengembalikan jumlah kambing yang telah dipinjamkan kepadanya. Selain daripada itu, lain-lain bantuan yang boleh diberikan oleh PP adalah dari segi khidmat nasihat dan bekalan input termasuk makanan ternakan, bergantung kepada kemampuan PP berkenaan dan setelah perjanjian dipersetujui.


 

Nama : Mohd Saupee Bin Sudin
Jawatan : Timbalan Pengarah
No. Telefon : 03-26109600
Email : saupee@lpp.gov.my

 

 



Dikemaskini pada: 14 Nov, 2019




PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda