Selaras dengan keperluan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan menjadikan Malaysia pengeluar utama makanan, perkhidmatan mekanisasi ladang/automasi ini amat diperlukan dalam setiap aktiviti pengeluaran khususnya dari peringkat penyediaan tapak/tanah hinggalah pemasaran hasil-hasil pertanian.

Perkhidmatan ini menjadi lebih kritikal, kerana terdapatnya persaingan yang kuat dari sektor lain khususnya industri dalam mendapatkan tenaga buruh.

 

Tujuan Dijalankan
Perkhidmatan mekanisasi/automasi ladang yang disediakan melalui Pertubuhan Peladang (PP) adalah untuk menggalakkan para peladang menggunakan jentera ladang secara intensif bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran pertanian, mengurangkan penggunaan tenaga manusia dan meningkatkan daya saing produk pertanian.

 

Skop dan Cara Pelaksanaan
Skop perkhidmatan mekanisasi /automasi ladang ini adalah:

  • Penyediaan tanah
  • Pembajakan  
  • Menanam (mencedung), penuaian dan aktiviti pengendalian lepas tuai.
  • Merata tanah  
  • Penyediaan tapak tanaman
  • Membina dan menyelenggara saliran dan pengairan.

 

Pelaksanaan Perkhidmatan
Para peladang yang memerlukan perkhidmatan ini perlu menghubungi Pertubuhan Peladang di kawasan berkenaan bagi mendapatkan perkhidmatan. PP yang terlibat akan menguru/menyelaras perkhidmatan ini dari pembekal, khususnya Pertubuhan Peladang Negeri Jentera (PPN Jentera) dan syarikat/individu yang menyediakan khidmat ini di negeri masing-masing.

 

Jenis Perkhidmatan
Jenis-jenis perkhidmatan yang disediakan adalah:

  • Perkhidmatan pembajakan dan penuaian bagi projek-projek kelompok padi yang diusahakan oleh PP.
  • Pembajakan untuk peladang yang mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan bauh-buahan.  
  • Pembajakan untuk peladang yang menjalankan projek tanaman tembakau dan lain-lain tanaman.  
  • Meratakan tanah kepada para peladang yang mengusahakan tanaman padi
  • Menanam padi (mencedung)

 

Penyelarasan Perkhidmatan
Penyelarasan perkhidmatan ini dibuat melalui tiga peringkat iaitu:

1. Peringkat Ibu Pejabat LPP

  • Menetapkan dasar dan program mekanisasi ladang LPP.  
  • Mengawasi dan melaporkan pelaksanaan program mekanisasi ladang.  
  • Mengatur maklumat dan memantau perlaksanaan program mekanisasi ladang LPP dan PP.
  • Menyelaras keperluan penyelidikan dalam mekanisasi/automasi kerja-kerja di ladang  
  • Mengaturkan mesyuarat dengan jabatan dan agensi yang terlibat memberi perkhidmatan kejenteraan.  

 

2. Peringkat LPP Negeri

  • Memantau perlaksanaan program mekanisasi ladang LPP di peringkat negeri  
  • Mendapatkan maklumat, keperluan, isu dan masalah dari PPK.  
  • Mengaturkan mesyuarat penyelarasan untuk mengatasi masalah dalam operasi kejenteraan.
  • Isu dan masalah yang tidak dapat diselesaikan dimajukan ke  Ibu Pejabat LPP.  

 

3. Peringkat Daerah/PP

  • Mendapatkan keperluan jentera untuk unit-unit peladang kelompok, mini estet dan kumpulan pengeluar.  
  • Mengatur dan menjadualkan perkhidmatan jentera untuk peladang-peladang

 

Faedah dan Impak
Antara faedah dan impak daripada perlaksanaan perkhidmatan ini ialah:

  • Mempercepatkan sesuatu proses pengeluaran dalam bidang pertanian.
  • Menjimatkan kos pengeluaran ladang berbanding yang diusahakan secara tradisional.
  • Meningkatkan kecekapan bidang pengeluaran ladang.
  • Bidang pertanian dapat diusahakan secara intensif, efektif dan mengikut ekonomi bidangan.
  • Mengurangkan dan menjimatkan penggunaan tenaga buruh di ladang.

 

Penutup
Khidmat mekanisasi/automasi ladang ini amat diperlukan bagi memastikan aktiviti pertanian dapat diusahakan secara intensif dan efektif serta memberi pulangan kepada pengusahanya dan memberi sumbangan yang bermakna dalam pengeluaran makanan untuk negara.

 



Dikemaskini pada: 18 Oct, 2017




KONGSI ARTIKEL INI

PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda