Fama Beri Nafas Baru Industri Tani

Fama Beri Nafas Baru Industri Tani

Fama Beri Nafas Baru Industri Tani

Berita Harian, Selasa, 25 Disember 2007

Fama beri nafas baru industri tani
Oleh Rohaniza Idris

BARU-BARU ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengumumkan struktur Fama akan dirombak secara besar-besaran untuk memperbaiki kelemahan memasarkan produk pertanian dan memperkukuhkan fungsinya di dalam dan luar negara. Apakah persediaan Fama mengenai perkara ini.

Selaras pengumuman itu, Fama sudah mengambil tindakan segera dan memulakan proses penstrukturan semula iaitu kita menyusun struktur organisasi bagi menangani banyak masalah berhubung pemasaran hasil pertanian. Misalnya, kita akan menubuhkan lima pejabat wilayah iaitu Wilayah Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Wilayah Persekutuan.

Pejabat Fama wilayah ini akan memiliki pusat operasi dan kita menumpukan kepada aktiviti urus niaga hasil pertanian. Kali ini Fama menumpukan kepada urus niaga yang akan meningkatkan ruang pasaran hasil pertanian negara. Menerusi penstrukturan semula ini, kita memastikan Fama lebih fokus dan tidak lagi menjadi penghubung atau orang tengah kepada petani yang ingin memasarkan produk mereka.

Apa lagi usaha yang di ambil Fama dalam penstrukturan semula ini.

Fama sentiasa meneroka peluang pasaran baru bagi hasil pertanian negara untuk dieksport. Ini dilakukan dengan menyertai pameran dan promosi perdagangan ke luar negara dan mencari akses pasaran bagi produk pertanian Malaysia.

Usaha lain yang sedang dilaksanakan.

Fama juga meneruskan projek pembangunan pasaran yang memberi manfaat terus kepada kumpulan sasaran menerusi pengwujudan pasar tani kekal di Jerantut, Pahang; Bukit Gambir, Muar, Johor dan Guar Cempedak, Kedah. Kita turut mengukuhkan pasar tani dan pasar tani mega sedia ada yang kini berjumlah 250 di seluruh negara. Fama juga akan mengukuhkan urus niaga langsung, program perdagangan dan promosi hasil pertanian selain membangunkan usahawan industri asas tani, gerai buah-buahan dan usahawan industri kecil dan sederhana bagi produk sejuk beku.

Apakah kelemahan Fama sehingga menyebabkan perlunya penstrukturan semula.

Pada masa ini, nilai urus niaga yang dikendalikan Fama hanya dua peratus bagi pasaran hasil pertanian negara dan dengan penstrukturan semula ini, kita akan mengukuhkan urus niaga dengan sasaran mencapai lebih 20 peratus pasaran pertanian negara.

Apakah sasaran Fama dengan penstrukturan semula ini.

Menerusi penstrukturan semula ini, kami menjangkakan nilai urus niaga pertanian yang dijalankan mencapai RM720 juta dan disasarkan nilai jualan langsung urus niaga produk segar dan proses meningkat kepada RM100 juta, eksport RM20 juta dan jualan menerusi gerai buah-buahan segar RM250 juta. Bagi pasar tani kita sasarkan nilai urus niaga meningkat kepada RM350 juta, pengaturan pasaran RM1 juta dan urus niaga produk sejuk beku RM320 juta. Dengan sasaran berkenaan, Fama akan menumpukan kegiatan urus niaga seperti dihasratkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dalam penstrukturan semula itu, anak syarikat milik penuh Fama, FamaCo Sdn Bhd yang dikatakan mencatatkan kerugian setiap tahun akan diperkukuhkan. Apakah cara bagi mengukuhkan syarikat ini.

Kenapa sebelum ini ia gagal mencatat keuntungan.

Tahun ini, FamaCo Sdn Bhd sudah pun mencatatkan keuntungan. Kita berjaya mengatasi masalah kerugian yang dialaminya dan untuk tahun depan, kami mensasarkan RM20 juta eksport FamaCo dapat dicapai. Kita juga meletakkan sasaran eksport FamaCo meningkat setiap tahun dengan RM80 juta berjaya dicapai pada 2010. Tumpuan akan diberikan kepada eksport produk segar dan makanan diproses serta sejuk beku. Kita juga sedang mengenal pasti destinasi baru eksport termasuk Asia Barat, Asia Timur (China, Taiwan dan Jepun) dan pasaran sedia ada seperti Singapura dan Eropah.

Selepas penstrukturan semula, apakah perubahan yang akan dirasai golongan sasar, iaitu petani dan pekebun kecil.

Setiap pejabat Wilayah Fama akan mempunyai pusat operasi masing-masing dan kita merancang menubuhkan 43 semuanya di seluruh negara. Sebanyak 77 pusat pengumpulan diwujudkan, 18 pusat edaran, manakala pejabat cawangan Fama meningkat kepada 112 di seluruh negara yang menjalankan kerja pentadbiran bukan urus niaga. Selain urus niaga, Fama juga akan menumpukan kepada projek pembangunan termasuk membesarkan lagi pasar tani dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan menambah pasar tani kepada 350 dan gerai buahan segar (500). Dengan penstrukturan ini, kita akan menempatkan semula lebih ramai pegawai di pejabat Fama negeri dan daerah supaya kita dapat bertindak dengan lebih tersusun dalam memasarkan produk pertanian. Dengan ini, Fama berharap masalah berkaitan pemasaran dapat diminimumkan sehingga menyumbang kepada peningkatan pendapatan petani dan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Kita juga tetapkan semua pusat operasi di pejabat wilayah mempunyai sasaran urus niaga masing-masing bagi memastikan tiada masalah lambakan dan kekurangan produk pertanian. Kita juga akan mengukuhkan maklumat pasaran Fama untuk memantau pengeluaran sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk lambakan dan kekurangan produk pertanian. Jika kita ada maklumat awal lebih mudah membuat persediaan dan mengatasi kelemahan yang ada.

Bercakap mengenai pasaran baru, apakah rancangan Fama.

Tahun depan, dengan ada destinasi pasaran baru, kita merancang mengeksport lebih banyak makanan segar dan sejuk beku. Contohnya, kita akan mengeksport 500 tan isi durian sejuk beku bagi pasaran dalam dan luar negara. Pusat operasi akan menyediakan kemudahan pembungkusan, pecah pukal, pelabelan dan gred sebelum dipasarkan. Kita juga akan mengukuhkan logo ‘Malaysia Best' kepada produk makanan diproses dan sejuk beku yang sebelum ini hanya dikeluarkan untuk buahan segar. Kita juga akan meningkat promosi di dalam dan luar negara dengan kerjasama agensi dan syarikat korporat.

Bagaimana Fama dapat membantu industri asas tani dan PKS.

Perancangan Fama bagi membantu membangunkan pengusaha industri asas tani dan PKS merangkumi pemasaran produk, membabitkan pengusaha dalam jualan dan edaran produk serta peningkatan kualiti, menganjurkan pemadanan pemasaran yang memperkenal dan memperluaskan pasaran produk menerusi promosi, karnival, ekspo, pesta dan jualan konsesi di pasar raya. Kita juga memberi perkhidmatan menyediakan publisiti dan iklan, memberi peluang kepada usahawan membuat promosi ‘truck sales' serta kaunter promosi di pasar raya. Kita juga bantu pengusaha menyertai pameran perdagangan dalam negara dan antarabangsa, mengadakan karnival, pesta dan ekspo selain gerai dan rak jualan, menyediakan bahan promosi seperti bunting, kain rentang, kertas iklan dan risalah. Sewaan tapak dan kelulusan tempat perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diusahakan. Bagi gerai buahan bantuan Fama kita akan meningkatkan jumlahnya kepada 500 berbanding 250 sekarang dan kini mengadakan rundingan dengan PBT.

Sumber manusia memainkan peranan penting untuk pemasaran produk. Sejauh mana Fama memberi perhatian kepada perkara ini.

Fama memang mengambil berat aspek sumber manusia dan empat teras utama diberikan perhatian iaitu memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan rantaian bekalan, kecemerlangan perisikan pasaran, penjenamaan pasaran antarabangsa dan pembangunan keupayaan. Pembangunan Keupayaan modal Fama termasuk pembangunan modal insan dengan menumpukan pemberian latihan dalaman dan luaran. Selain latihan untuk kakitangan Fama, latihan pemasaran juga diberikan kepada peserta pasar tani, ladang kontrak dan usahawan industri asas tani dan PKS. Latihan kepada kumpulan sasar Fama ini bagi menjadikan mereka lebih berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang pertanian.



Kemaskini Terakhir: 01 Jan, 2007