Fokus lahir usahawan tani muda

PPNS komited jadikan industi pertanian sebagai sumber tabung makanan negara

SHABERY CHEEK (tiga dari kanan) menyampaikan replika geran Agroprenuer Muda kepada wakil petani muda sambil disaksikan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar (belakang dua dari kiri) dan Abdul Razak Khasbullah (kanan).  Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/fokus-lahir-usahawan-tani-muda-1.449731#ixzz4gY1hYBeN  © Utusan Melayu (M) Bhd

 

MUKADIMAH BIDANG pertanian semakin mendapat tempat dalam kalangan orang muda khususnya di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) daerah Kuala Langat.

Perkembangan positif ini tidak mengambil masa yang singkat untuk dicapai sebaliknya ia menuntut usaha berterusan melibatkan kerjasama erat di antara pihak pentadbiran, kepimpinan serta ahli di dalam PPK di kawasan itu.

Wartawan Utusan MalaysiaABDUL RAZAK IDRIS menemu bual Pengerusi Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Negeri Selangor (PPNS) merangkap Pengerusi PPK Kuala Langat, DR. ABDUL RAZAK KHASBULLAH, 56, individu yang juga dianggap sebagai ‘arkitek’ di sebalik pencapaian pertanian di daerah itu.

 

UTUSAN MALAYSIA: Kongsikan tentang peranan pihak Pertubuhan Peladang Negeri Selangor (PPNS) bagi menggalakkan industri pertanian khususnya tanaman untuk makanan di negeri ini?

DR. ABDUL RAZAK KHASBULLAH: Pihak PPNS khususnya dan PPK Kuala Langat amnya komited untuk menjadikan industri pertanian di negeri ini sebagai sumber tabung makanan negara.

Justeru banyak program yang telah dirancang untuk peladang muda di bawah 40 tahun bagi menyuntik semangat kepada me­reka menceburi bidang ini.

Sebagai Pengerusi Jemaah PPNS, antara bidang pertanian yang diberi penekanan adalah cili fertigasi dan haiwan ternakan yang mana sebanyak RM31.3 juta diperuntukkan untuk memajukan bidang ternakan di PPK Kuala Langat.

Ini sekali gus membuktikan keyakinan ti­nggi pihak Kementerian Industri Asas Tani kepa­da PPK di daerah ini.

Bagaimana pula dengan sokongan kerajaan dalam bidang ini?

PPK Kuala Langat mahupun di peringkat negeri me­­nyambut baik peruntukan bajet RM100 juta oleh kerajaan bagi menggalakkan petani di bawah program Unit Agropreneur Muda (UAM) untuk menjadikan pertanian sebagai sumber ekonomi utama rakyat negara ini.

Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa membantu usahawan tani muda untuk menyumbang kepada penghasilan produk pertanian di negara ini.

Selaras dengan dasar Transformasi Nasional (TN) 50, PPK Kuala Langat sentiasa fokus untuk menjadikan usahawan tani muda sebagai benteng terakhir pengeluar makanan negara menjelang tahun 2050.

Apakah kursus-kursus yang te­lah dan akan dilaksanakan ba­gi menggalakkan penglibatan go­longan muda hingga peringkat rakyat yang akan bersara?.

PPK Kuala Langat bersama Syarikat Fertigasi Hijau banyak menganjurkan kursus asas menanam cili dan rock melon melibatkan bakal pesara agensi kerajaan dan swasta, pelajar-pelajar dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah.

Seramai 1,500 orang telah mengikuti kursus setakat ini, sama ada di sekolah-sekolah mahupun di lain-lain tempat yang mana kita menyasarkan kelompok ini mampu menggunakan kemahiran diperoleh untuk mencari rezeki.

Bayaran dikenakan berpatutan bagi membolehkan lebih ramai peserta mengikuti kursus.

Kos kursus juga ditampung dari geran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mana pihak Menteri, Datuk Ahmad Shabery Chik menggalakkan program sedemikian diteruskan dari masa ke semasa.

Misi dan visi pihak PPK Kuala Langat khususnya dan LPP amnya bagi memastikan bidang pertanian menjadi nadi ekonomi masyarakat?

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, Tan Sri Zainal Dahalan begitu komited untuk menggerakkan usaha bagi menjadikan pertanian sebagai antara bidang yang perlu dipelajari oleh anak-anak kita melalui Kor Tani dan Agropreneur Muda dalam usaha meremajakan industri pertanian.

Buat masa ini di PPK Kuala Langat usahawan tani terdiri daripada anak-anak muda yang gigih mengusahakan tanaman cili walaupun mereka pernah diuji dengan kegagalan.

Difahamkan pihak PPK Kuala Langat dan Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) mempunyai produk lain selain cili dan rock melon. Boleh kongsikan sedikit?

PPHL Teluk Panglima Garang turut menjual bahan makanan seperti beras . Begitu juga dengan penternakan lembu dan kambing untuk pasaran tempatan dan luar Selangor.

PPK Kuala Langat juga menghasilkan lembu yang terbaik di negeri ini dan kita mendapat permintaan tinggi untuk membekalkan lembu korban setiap tahun dan permintaan terus me-ningkat saban tahun.

Bagaimana kolaborasi PPK Kuala Langat dan PPNS dengan syarikat lain?

Kita berkolaborasi memasarkan produk makanan untuk haiwan ternakan dengan Syarikat Arisprop Sdn. Bhd bagi pasaran negeri ini dan seluruh negara dan PPHL Teluk Panglima Garang menjadi pusat pemasarannya.

Selain produk makanan khususnya untuk makanan haiwan ternakan, kolaborasi turut dijalinkan dengan Syarikat Era D Mansion bagi memasarkan beras dengan jenama PPNS melibatkan dua jenis beras iaitu beras super special tempatan lima peratus hancur dan beras mayang super special import lima peratus hancur bagi pasaran di negeri ini.

Apakah kejayaan PPK Kuala Langat dan Dr.Abdul Razak sendiri dalam bidang ke­pimpinan sejak dari dahulu hingga kini?

Saya menjadi ahli pertubuhan peladang pada awal 1980 an, menjadi setiausaha unit PPK Sijangkang sebelum menjadi jemaah PPK paling muda hingga menjadi Pengerusi PPK Kuala Langat dan kini Pengerusi Ahli Jemaah PPNS.

Kejayaan PPK Kuala Langat adalah menjadi penerima Anugerah Tokoh Peladangnita Jaya pe­ringkat kebangsaan pada tahun 1980 an dan Tokoh Peladang Jaya pada tahun 2015 yang di­terima Sai­pol Azimir Zainuddin dari Ban­ting yang berjaya dalam bidang pen­ternakan lembu.

Unit PPK Sijangkang juga men­jadi antara unit yang diiktiraf di peringkat kebangsaan selain Unit Labohan Dagang, dan ini adalah sebahagian kejayaan dikecapi PPK Kuala Langat.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/fokus-lahir-usahawan-tani-muda-1.449731#ixzz4gY1mpd7W 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

 

 

 



Kemaskini Terakhir: 09 May, 2017