BUKAN semua orang berminat untuk bercakap tentang isu pertanian, namun berbeza buat Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Sembilan, AZIZAN ABD. HAMID yang sudah ‘masak’ dengan topik tersebut.
Dalam pertemuan hampir sejam baru-baru ini, beliau mengupas pelbagai isu pertanian termasuk potensi dan cabaran melibatkan peladang dan usahawan tani di negeri ini.
Kepada Wartawan Utusan Malaysia, HARADIAN SHAH HAMDAN, beliau turut berkongsi tentang peranan dan hala tuju LPP negeri dalam membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat tani di negeri ini.
UTUSAN: Kongsikan se­cara ringkas pe­ra­nan sebenar LPP?
AZIZAN ABD. HAMID :LPP ditubuhkan pada 14 Februari 1973 bertujuan memikul tanggungjawab dalam membantu meningkatkan ekonomi dan sosial masyarakat tani di negara ini melalui sebuah badan yang khusus.
LPP yang berada di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berperanan mendaftar dan menyelia serta membangunkan ahli-ahli Pertubuhan Peladang dengan menggalakkan penglibatan mereka dalam sektor pengeluaran bahan makanan.
Perkhidmatan LPP turut me-rangkumi antaranya pengurusan dan pembangunan sumber manusia, automasi ladang, bekalan, pembiayaan dan khidmat nasihat, teknologi memproses makanan, pemasaran dan perkhidmatan dalam talian.
Dalam konteks LPP Negeri Sembilan, kita mempunyai 158 kakitangan yang melibatkan lima cawangan utama iaitu urusan pendaftaran, teknologi maklumat, pentadbiran dan kewangan, pembangunan dan audit pertubuhan.
Berapakah Pertubuhan Peladang yang berdaftar dan jumlah usahawan tani yang menjadi ahli di Negeri Sembilan?
Terdapat satu Pertubuhan Peladang Negeri dan 11 Pertubuhan Peladang kawasan (PPK) di negeri ini. Sehingga kini jumlah keseluruhan ahli ialah seramai 27,850 orang dengan jumlah saham mereka bernilai RM10,211,038.
Apakah projek yang telah mendapat peruntukan dana LPP dan bagaimana pencapaiannya?
Kita menyalurkan peruntukan pembangunan iaitu dengan anggaran RM500,000 setiap tahun. Antara yang menerima manfaat ialah projek tanaman cili dan rock melon secara fertigasi di PPK Seremban, Jempol dan Rompin Jelai.
Dalam industri padi, terdapat estet padi di PPK Pilah dan Jelebu serta pusat pembelian padi yang beroperasi di Melang, Kuala Pilah.
Selain itu, ada projek menghasilkan benih udang bagi menyahut saranan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menjadikan negeri ini hab pengeluar utama udang galah negara. Sehingga kini, projek itu mempunyai kapasiti sebanyak dua juta benih udang dalam setiap pusingan.
Sejauhmana penyertaan golongan muda dalam bidang pertanian.
LPP sentiasa menyahut seruan kerajaan bagi membantu melahirkan usahawan muda meningkatkan hasil pertanian.
Pelbagai dana disediakan se-perti Tabung Usahawan Usahaniaga Peladang dan Tabung Pembangunan Usahawan Kortani untuk mereka melibatkan diri.
Selain di peringkat universiti, pelajar sekolah turut dilibatkan menerusi bimbingan teknikal dan menyediakan peruntukan untuk membangunkan projek pertanian secara fertigasi. Ini dilaksanakan di Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja, Rembau dan Sekolah Menengah Kebangsaan Serting Hilir Kompleks, Jempol.
Potensi Negeri Sembilan dalam bidang pertanian?
Negeri ini terletak berhampiran Lembah Klang yang mempunyai jumlah penduduk dua juta orang. Bagi projek pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) pula meliputi kawasan dari Nilai, Seremban ke Port Dickson melibatkan satu juta penduduk. Sudah tentu potensi pemasaran hasil pertanian adalah sangat luas.
Bagaimana LPP memanfaatkan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian hari ini?
Kita sentiasa menerapkan teknologi kepada Pertubuhan Peladang terutama sekali yang dapat meningkatkan hasil pertanian contohnya tanaman sayur secara fertigasi yang dilaksanakan di PPK Seremban, Jempol dan Rompin Jelai. Kita juga sentiasa bersedia dengan kewujudan teknologi baharu yang dapat memberi manfaat kepada peladang dan usahawan tani.
Apakah program terbaharu dilaksanakan LPP di negeri ini ?.
Projek Shakran yang mampu memberi impak untuk menjadikan Pertubuhan Peladang sebagai pengeluar hasil sayur-sayuran berproduktiviti tinggi khususnya dalam membekalkan makanan kepada masyarakat bandar. Kita telah mengenal pasti seramai 35 usahawan untuk mengusahakan tanaman cili dan rock melon secara fertigasi yang melibatkan 74,500 polibeg tanaman berkenaan.
Selain itu, tahun ini seperti biasa Hari Peladang, Penternak dan Nelayan akan diadakan di peringkat negeri. Pada tahun lalu kita me-nerima seramai 87,874 pengunjung dengan nilai transaksi jualan sebanyak RM2.35 juta.
karikatur
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/memperkasa-masyarakat-tani-1.484996#ixzz4j5nCBEqR
© Utusan Melayu (M) Bhd