Memperkasa Produk Pertanian Untuk Pasaran Global
Berita Harian, Isnin, 24 Disember 2007
Memperkasa produk pertanian untuk pasaran global
ARAH aliran perdagangan makanan negara terus menunjukkan peningkatan defisit dalam imbangan dagangan. Pada 2005, defisit perdagangan makanan ialah RM7.1 bilion berbanding RM3.4 bilion pada 1995 dan RM4.9 bilion pada tahun 2000.
Jumlah defisit perdagangan makanan bagi tempoh setengah tahun 2006 ialah RM4.2 bilion. Jika keadaan ini berterusan tanpa dibendung, defisit imbangan dagangan pada 2010 dijangka meningkat kepada RM12.4 bilion, dengan nilai eksport RM14.9 bilion dan import mencecah RM27.3 bilion.
"Trend ini memerlukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyusun langkah segera bagi mengatasi masalah ini," kata Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengenai kebimbangan itu baru-baru ini. Beliau menegaskan kementeriannya mensasarkan lebihan dagangan RM1.2 bilion menjelang 2010 dengan nilai import RM14.3 bilion, manakala eksport RM15.5 bilion.
Ia bererti, Malaysia perlu meningkatkan nilai eksport daripada RM10.65 bilion pada 2005 kepada RM15.2 bilion pada 2010.
Muhyiddin turut memetik Kajian Potensi Pasaran Produk Pertanian bagi Sayur-Sayuran dan Buah-Buahan Malaysia ke Singapura yang dibuat oleh Fama ke atas 273 pengeksport sayur dan buah tempatan ke Singapura pada 2005. Katanya, kajian itu menunjukkan trend nilai eksport produk terbabit menurun dan ini disebabkan produk pertanian dari Malaysia terpaksa bersaing dengan produk dari China, Thailand, Indonesia dan Vietnam.
Muhyiddin berkata, ada beberapa masalah yang dikenal pasti, antaranya peningkatan persaingan dari negara pengeluar lain yang menawarkan harga lebih rendah, kualiti keluaran pertanian Malaysia yang rendah dan 'standard' pembungkusan dan pelabelan yang tinggi di Singapura.
Persoalannya kini, bagaimanakah mengatasi masalah itu dan seterusnya untuk mencapai visi kerajaan menjadikan pertanian sebagai 'enjin pertumbuhan ketiga' pembangunan negara.
Untuk itu, Muhyiddin menekankan bahawa kini trend pasaran global dikuasai permintaan pengguna yang mementingkan kualiti sesuatu produk daripada aspek keselamatan pengguna yang menjadi kian penting dalam perdagangan agro-makanan dunia. Beliau berkata, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan mensasarkan pertumbuhan tahunan sektor makanan pertanian ditingkatkan kepada 6.8 peratus berbanding 2.6 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8).
Katanya, dalam mencapai sasaran itu, beberapa strategi serta pendekatan baru digubal bagi memperkasa sektor ini agar sasaran ditetapkan dapat dicapai.
Beliau percaya sebarang peraturan dan penguatkuasaan perlu dilihat dari sudut keselamatan makanan, persekitaran dan hal kemanusiaan.
Justeru, Muhyiddin menekankan hasil makanan negara perlu berkualiti dan mematuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa bagi membolehkan hasil negara dapat dieksport ke pasaran global.
"Konsep jaminan kualiti dari ladang ke meja hidangan perlu diamal dan dikuatkuasakan," katanya.
Untuk itu, Muhyiddin menegaskan, apa yang akan dilaksanakan ialah keperluan pematuhan negara pengimport ke atas piawaian atau standard antarabangsa dalam konteks penggredan, pembungkusan dan pelabelan.
Beliau menjelaskan, bagi mematuhi kehendak perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), keluaran pertanian yang dipasarkan di pasaran tempatan juga perlu digred, dibungkus dan dilabelkan mengikut piawaian Malaysia.
Kementerian juga akan mensyarat dan menguatkuasakan agar semua produk makanan segar yang hendak dieksport juga perlu digred, dibungkus dan dilabel mengikut keperluan negara pengguna atau piawaian antarabangsa.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penggredan dan Kawalan, Rohizad Ridzwan menyifatkan objektif pelaksanaan peraturan mengenai penggredan, pembungkusan dan pelabelan adalah untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pemasaran keluaran pertanian tempatan supaya terus berdaya saing.
Menerusi penggredan, katanya, antara faedah adalah untuk menjamin kualiti hasil dipasarkan, meningkatkan kecekapan pemasaran, mengurangkan kerugian dan pembaziran serta memastikan keluaran pertanian selamat digunakan.
"Ia juga untuk mematuhi keperluan kehendak antarabangsa seperti "Eurepgap, CODEX, ISO" dan meningkatkan nilai tambah, manakala hasil keluaran pertanian perlu digred mengikut keseragaman saiz, kematangan, kerosakan dan kesegaran," katanya.
Daripada aspek pembungkusan pula, Rohizad berkata, reka bentuk yang menarik, susunan produk dengan kemas boleh menarik pengguna selain mengurangkan kadar kerosakan, memudahkan pengendalian pemasaran dan meningkatkan nilai tambah.
Melalui pelabelan pula, katanya ia boleh meningkatkan kepercayaan pengguna, mewujudkan pengeluar yang bertanggungjawab selain mewujudkan identiti. – Bernama