MPPP Pengerang digesa majukan tanah terbiar

MPPP Pengerang digesa majukan tanah terbiar

UTUSAN MALAYSIA

ARKIB : 09/12/2010

 

KOTA TINGGI 8 Dis. - Ahli Majlis Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen (MPPP) Pengerang digesa melipatgandakan usaha memajukan kawasan tanah terbiar dengan kegiatan pertanian atau perladangan.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif bagi memajukan sektor pertanian dalam usaha meningkatkan pendapatan petani.

"Jangan biarkan tanah terbiar. Usahakan dengan kegiatan menguntungkan apatah lagi dalam keadaan suasana ekonomi global yang tidak menentu.

"Sehubungan itu, MPPP perlu lebih aktif dalam usaha menggerakkan pelbagai aktiviti agar semua subsidi dan insentif yang disalurkan mampu dinikmati ke peringkat akar umbi," katanya pada Majlis Penyampaian Peruntukan Projek Pertanian Di Bawah MPPP Parlimen Pengerang 2010 di Dewan Tanjung Kapal Beach Resort, di sini semalam.

Turut hadir Pegawai Peladang Daerah Johor Timur, Abdul Jalil Bukhairah dan Setiausaha MPPP Parlimen Pengerang merangkap Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengerang, Suriadi Abdul Jalal.

Pada majlis itu, sebanyak 37 permohonan untuk mendapatkan subsidi dan insentif projek pertanian di bawah MPPP Parlimen Pengerang berjumlah RM200,000 bagi tahun 2009 dan 2010 telah diluluskan.

Masing-masing menerima peruntukan berupa peralatan, mesin dan benih bernilai antara RM5,000 hingga RM25,000.

Azalina berkata, pelantikan wakil PPK dalam majlis berkenaan sekali gus membolehkan PPK yang dianggotai penternak, peladang dan nelayan terbabit dapat berbincang dan berinteraksi secara terus dengan pegawai pertanian yang bertanggungjawab di kawasan masing-masing.

"PPK merupakan organisasi yang memahami keadaan setempat dan ia penting dilibatkan dalam agenda pembangunan pertanian negara," katanya.

 



Kemaskini Terakhir: 09 Dec, 2009