Pengeluaran padi di lembah utara Perlis meningkat sekali ganda

Pengeluaran padi di lembah utara Perlis meningkat sekali ganda

Pengeluaran padi di lembah utara Perlis meningkat sekali ganda

Pengeluaran padi di lembah utara Perlis meningkat sekali ganda

22/12/2012

KANGAR: Pengeluaran padi di lembah utara Perlis kini meningkat berikutan pelaksanaan pelbagai program pertanian di samping sistem penyampaian kerajaan kepada pesawah, kata Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perlis, Shaidan Nordin.

Beliau berkata purata pengeluaran padi di kawasan kendalian LPP itu kini sekitar 4.5 tan metrik sehektar berbanding 2.5 tan metrik sehektar kira-kira 10 tahun lalu. Shaidan yang ditemui selepas program turun padang di kawasan Mata Ayer dekat sini hari ini berkata, paling memberangsangkan ada kawasan yang mencapai pengeluaran sehingga 7 tan metrik sehektar.



"Ini bukan saja kerana kegigihan pesawah tetapi turut dijana oleh sistem penyampaian kerajaan termasuk subsidi baja yang menyuburkan tanaman padi," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, kecekapan sistem penyampaian termasuk bantuan baja mengikut jadual yang tepat membolehkan para pesawah memanfaatkan kemudahan itu dengan sempurna dan menjadikan sektor penanaman padi sebagai kegiatan pertanian utama.

Katanya, LPP amat mengambil berat terhadap pengeluaran padi di bawah kawalannya yang membabitkan kawasan seluas 11,654 hektar di utara Perlis dan akan bertindak pantas jika terdapat sebarang masalah yang boleh menggugat industri makanan itu.

Menurutnya, banyak lagi agensi yang berganding tenaga membantu para pesawah termasuk Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Mengenai dakwaan seorang pesawah dari Guar Nangka di sini yang lewat menerima bantuan subsidi baja sehingga mengganggu tumbesaran padi, Shaidan berkata siasatan mendapati petani berkenaan yang mengusahakan sawah seluas lebih 2.3 hektar sudah menerima bantuan itu mengikut jadual pada November lalu serta sudah menggunakan kemudahan itu.

"Kami tidak mahu dakwaan itu menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap usaha murni kerajaan melalui LPP untuk memastikan pengeluaran padi di luar MADA terus berkembang," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Peladang Kampung Kubang Perun, Yaakob Saad terkejut dengan dakwaan itu kerana beliau sendiri yang memantau pendaftaran dan proses penghantaran baja berkenaan supaya tiba pada waktunya.

Katanya, beliau cuba menghubungi pesawah berkenaan bagi mendapatkan penjelasan sebenar namun gagal tetapi anggota keluarga pesawah terbabit memaklumkan bahawa kesuburan padi yang diusahakan petani itu adalah hasil baja subsidi kerajaan.

Yaakob yang juga Peladang Jaya 2012 peringkat negeri Perlis berkata, setakat ini unit peladang itu tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan sistem penyampaian dan kesuburan tanaman padi di kawasan itu membuktikan kesemua pesawah telah memanfaatkan baja subsidi yang telah dibekalkan.

"Kami bersyukur kerana kerajaan bersungguh-sungguh membebaskan kami daripada kemiskinan dan kini kami berbangga menjadi pesawah yang moden dan mampu membina kehidupan lebih selesa," katanya. - BERNAMA

Berita Harian



Kemaskini Terakhir: 22 Dec, 2012