Penternak sibuk pindahkan ratusan ekor ayam
TUMPAT 27 Nov. - Ketika orang lain sibuk menyelamatkan harta benda daripada dihanyutkan arus deras musim banjir, kelihatan kelibat seorang warga emas bersama beberapa penduduk sedang sibuk memindahkan ratusan ekor ayam ke tempat selamat di Kampung Kuala Jambut di sini.
Warga emas tersebut Mat Yusof Saamah, 60, yang juga pemilik ayam berkenaan berkata, kerja-kerja memindahkan ayam tersebut merupakan perkara biasa setiap kali banjir melanda kampungnya.
Menurut Mat Yusof, ayam-ayam tersebut terpaksa dipindahkan menggunakan perahu ke tempat yang lebih selamat selepas semua lima buah reban miliknya ditenggelami air akibat banjir.
"Ayam-ayam tersebut perlu dipindahkan ke tempat yang selamat kerana khuatir air akan naik. Sekiranya ia tidak dilakukan segera ayam tersebut mungkin boleh mati dan ia akan merugikan saya.
"Alhamdulillah, hari ini saya berjaya memindahkan 720 ekor. Walaupun penat, namun hasil bantuan penduduk kampung saya telah berjaya memindahkan ayam-ayam tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Mat Yusof memberitahu, kesemua reban miliknya di kampung berkenaan menempatkan 6,500 ekor ayam dan kebanyakan ayam itu akan dijual terus kepada pemborong sekitar daerah ini bagi meminimumkan kerugian sekiranya ternakan itu mati akibat banjir.
"Kesemua baki ayam berkenaan akan dipindahkan dalam masa terdekat. Saya berharap proses memindahkan ayam-ayam ini berjalan dengan lancar," ujarnya.
Dia yang mempunyai pengalaman menternak ayam selama 10 tahun memberitahu, pernah mengalami kerugian besar ketika musim banjir pada tahun 2004.
"Masa itu air naik dengan cepat tanpa sempat saya menyelamatkan ayam-ayam tersebut. Kerugian dianggarkan lebih RM16,000," jelasnya.
Kemaskini Terakhir: 27 Nov, 2011