Pertubuhan Peladang Johor belum bayar dividen

Pertubuhan Peladang Johor belum bayar dividen

Pertubuhan Peladang Johor belum bayar dividen


Utusan Malaysia
ARKIB : 31/12/2009
Pertubuhan Peladang Johor belum bayar dividen

DALAM usaha meningkatkan taraf sosioekonomi kaum petani, penternak dan nelayan di negara kita, peranan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensi-agensi kerajaan yang bernaung di bawah kementerian berkenaan telah berjaya membawa kemajuan dan seterusnya telah merubah kehidupan golongan-golongan tersebut.

Peranan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), dan seterusnya melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang terdapat di serata kawasan dan daerah yang dinaungi oleh Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), telah banyak membantu para petani di dalam memberi input pertanian, khidmat nasihat, pemasaran hasil ladang, industri hiliran dan sebagainya.

Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) tidak terkecuali telah banyak membantu golongan petani di negeri Johor.

Bagi memajukan petani di Johor, PPNJ telah mendirikan Kompleks Kilang Pemprosesan Buah Kelapa Sawit di Kahang Kluang dan juga di Bukit Bujang, Segamat.

Dengan itu para petani dapat memasarkan buah-buah sawit melalui PPK di kawasan masing-masing dan seterusnya dihantar ke kilang-kilang berkenaan.

Objektif pewujudan kilang-kilang ini antara lain ialah supaya para petani mendapat harga yang lebih baik kerana tidak melalui orang tengah.

Semasa awal pembukaan kilang ini dahulu, PPNJ telah melancarkan penjualan saham kepada ahli pertubuhan peladang di negeri Johor dengan nilai RM100 setiap satu lot dikenali sebagai Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) Kahang.

Saya salah seorang ahli LPP tidak terkecuali membeli saham ini sebagai satu pelaburan. Syukur setelah beberapa tahun skim ini memberi pulangan dividen 10 peratus.Cuma apa yang dikesalkan PPNJ sebagai pihak yang bertanggungjawab mengendalikan pelaburan golongan petani ini begitu lambat untuk memberi dividen kepada pelabur. Sebagai contoh dividen Tahun 2008 belum diberi sehingga bulan Disember 2009. Sedangkan bulan Disember 2009 sudah hampir ke penghujungnya

Tahun lalu pun begitu juga di mana dividen 2007 hanya dapat diberi setelah tahun 2008 hampir menutup tirai. Kenapa dan mengapa lambat hanya PPNJ saja yang dapat menjawabnya.

Sebagai pelabur kecil saya melihat ini sebagai suatu yang tidak efisien dari segi pengurusan. Kenapa tidak digunapakai cara PNB dan Bank Rakyat yang begitu efisien memberi dividen kepada pelabur di awal tahun baru.

Kepada pegawai di PPNJ bertugas dan bekerjalah dengan penuh amanah dan dedikasi. Mudah-mudahan PPNJ akan menjadi organisasi yang boleh dicontohi, disegani dan membantu para petani, pekebun kecil dan mereka yang berkecimpung dalam industri ini ke arah kehidupan yang lebih baik.



Kemaskini Terakhir: 10 Jan, 2009