RM39 Juta Buat Petani, Nelayan Dan Penternak Dalam Industri Kecil

RM39 Juta Buat Petani, Nelayan Dan Penternak Dalam Industri Kecil

08 Januari, 2008 21:20 PM
RM39 Juta Buat Petani, Nelayan Dan Penternak Dalam Industri Kecil

MUAR, 8 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyediakan peruntukan RM39 juta sebagai pinjaman kepada 3,843 orang petani, nelayan dan penternak di bawah skim pinjaman industri kecil di seluruh negara bagi projek-projek industri kecil-kecilan yang diusahakan mereka sepanjang tahun ini.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat jawatankuasa pembangunan kementerian itu, di Putrajaya hari ini.

"Pembiayaan itu diharap dapat mencapai matlamat kerajaan melahirkan 10,000 orang usahawan tani menjelang 2010," katanya selepas menyampaikan bantuan mangsa banjir kawasan parlimen Pagoh, di sini hari ini.

Beliau berkata pembiayaan itu menjadikan jumlah mereka yang menerima bantuan pinjaman sehingga kini meningkat kepada 8,300 orang sejak diperkenalkan tiga tahun lepas dengan peruntukkan berjumlah RM150 juta.

Katanya semua petani, nelayan dan penternak yang akan menerima bantuan pinjaman itu akan dipanggil menyertai kursus khas anjuran kementerian, sebelum mereka memulakan projek masing-masing.

Muhyiddin yang juga anggota parlimen Pagoh berkata rekod sebelum ini menunjukkan bahawa mereka yang sudah memulakan projek industri kecil itu berjaya memperolehi pendapatan hampir RM2,000 sebulan dan katanya beliau yakin matlamat melahirkan usahwan kecil berpendapatan lebih RM2,000 sebulan akan tercapai.

Katanya beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut dan membuat kajian bagi memberi peluang mereka yang belum menyertai program berkenaan mendapat manfaatnya.

Mengenai peningkatan kos pengeluaran bahan makanan dalam sektor pertanian, beliau berkata pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar para petani yang terlibat dalam pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan diberikan insentif supaya mereka dapat meneruskan kegiatan pertanian.

Muhyiddin berkata langkah itu penting kerana petani menghadapi masalah kenaikan harga bahan input pertanian seperti baja, racun serangga dan lain-lain yang meningkat hingga 50 peratus dalam tempoh dua tahun lalu. -- BERNAMA



Kemaskini Terakhir: 01 Jan, 2008