Transformasi Pertanian Perlu Digiatkan
24/11/2009
KUALA LUMPUR 23 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, transformasi sektor pertanian perlu dipergiatkan bermula daripada peringkat tanaman hingga ke pemasaran hasil pertanian.
Perdana Menteri berkata, sektor tersebut merupakan antara sektor yang menjadi sumber terpenting pendapatan rakyat luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negara.
Justeru, katanya, kerajaan yakin sektor itu berupaya dipertingkatkan untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menjana ekonomi negara sebagai paksi ketiga pertumbuhan ekonomi.
"Saya berasa yakin bahawa transformasi sektor pertanian boleh dipertingkatkan dengan adanya Dasar Agro Makanan Baru yang akan menjadi panduan pelaksanaan Dasar Pertanian Negara Ke-4 (2011-2020).
"Dasar ini telah digubal oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang bertujuan memajukan lagi sektor agro makanan supaya negara boleh mencapai Imbangan Dagangan Makanan yang positif menjelang 2020," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada perasmian mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di sini malam ini.
Teks ucapan Najib dibacakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.
Tambah beliau, menyedari kepentingan sektor pertanian, maka kerajaan dalam Bajet 2010 telah memperuntukkan sebanyak RM6 bilion.
Antara lain peruntukan ini akan digunakan untuk:
* Naik taraf dan baik pulih infrastruktur pengairan dan saliran - RM137 juta.
* Pelaksanaan projek Empangan Paya Peda di Terengganu untuk kemudahan pesawah - RM70 juta.
* Pemodenan industri akuakultur melibatkan peruntukan sebanyak RM82 juta.
* Pembangunan industri tanaman makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, perladangan organik, herba, rumpai laut dan burung walit - RM149 juta.