KUALA LUMPUR 28 Feb. –Agrobank bersedia menyalurkan pinjaman kepada usahawan yang layak ke arah mendorong pertumbuhan jumlah jutawan segmen pertanian di dalam negara.
Pengerusi Agrobank, Tan Sri Zabidi Mohamad Zainal berkata, pihaknya mengalu-alukan projek berinovasi tinggi dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata, sebagai sebuah bank yang lebih memahami sektor pertanian, Agrobank menawarkan pembiayaan yang komprehensif meliputi aktiviti pertanian daripada sektor huluan dan hiliran dan meliputi pelbagai jenis perniagaan berasaskan pertanian.
“Prospek dan peluang dalam sektor pertanian adalah luas, Agrobank sentiasa mempertingkatkan perkhidmatan dan produk pembiayaan agar sentiasa berdaya saing serta mampu memenuhi keperluan pelanggan mengikut peredaran masa dan terkini.
“Kami inginkan agar pelanggan melihat Agrobank sebagai rakan perniagaan strategik mereka supaya potensi perniagaan dapat dikembangkan,” katanya kepada pemberita selepas sesi Bicara Agro di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Program perkongsian maklumat itu pada tahun ini memasuki tahun kedua penganjuran yang membicarakan mengenai pelbagai topik dan isu berkaitan sektor pertanian dan asas tani.
Tema yang dipilih untuk Bicara Agro kali ini adalah Peluang dan Prospek dalam Menjadi Jutawan Agro.
Ia merupakan inisiatif untuk berkongsi ilmu kepada masyarakat menerusi pembentangan idea dan maklumat mutakhir berkenaan industri pertanian daripada kaca mata tokoh usahawan yang telah berjaya.
Kira-kira 180 peserta menghadiri program itu yang terdiri daripada pengurusan Agrobank, usahawan asas tani dari Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta penuntut Universiti Putra Malaysia.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/agrobank-komited-perbanyak-jutawan-sektor-pertanian-1.450397#ixzz4gY2Mp4eA
© Utusan Melayu (M) Bhd