Selaras dengan keperluan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan menjadikan Malaysia pengeluar utama makanan, perkhidmatan mekanisasi ladang dan automasi ini amat diperlukan dalam setiap aktiviti pengeluaran khususnya dari peringkat penyediaan tapak/tanah hinggalah pemasaran hasil-hasil pertanian.
Perkhidmatan ini menjadi lebih kritikal, kerana terdapatnya persaingan yang kuat dari sektor lain khususnya industri dalam mendapatkan tenaga buruh.
Tujuan Dijalankan
Perkhidmatan mekanisasi dan automasi ladang yang disediakan melalui Pertubuhan Peladang (PP) khususnya Pertubuhan Peladang Negeri Jentera (PPN Jentera) adalah untuk menggalakkan para peladang menggunakan jentera ladang secara intensif bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran pertanian, mengurangkan penggunaan tenaga manusia dan meningkatkan daya saing produk pertanian.
Skop dan Cara Pelaksanaan
Skop perkhidmatan mekanisasi dan automasi ladang ini adalah:
- Penyediaan tanah- pembajakan dan perataan tanah
- Pengapuran
- Menanam padi (transplanter)
- Meracun (dron)
- Penuaian padi
- Membina dan menyelenggara saliran dan pengairan.
Pelaksanaan Perkhidmatan
Para peladang yang memerlukan perkhidmatan ini perlu menghubungi Pertubuhan Peladang (PP) di kawasan berkenaan bagi mendapatkan perkhidmatan. PP yang terlibat akan menyelaras perkhidmatan ini dari pembekal, khususnya Pertubuhan Peladang Negeri Jentera (PPN Jentera) dan syarikat/individu yang menyediakan khidmat ini di negeri masing-masing.
Jenis Perkhidmatan
Jenis-jenis perkhidmatan yang disediakan adalah:
- Pembajakan tanah untuk tanaman padi, jagung dan sayur-sayuran
- Penuaian padi dan jagung
- Pengapuran tanah
- Penanaman padi menggunakan transplanter
- Penanaman jagung
- Penggunaan drone untuk kerja-kerja meracun dan pemantauan tanaman
Penyelarasan Perkhidmatan
Penyelarasan perkhidmatan ini dibuat melalui tiga peringkat iaitu:
1. Peringkat Ibu Pejabat LPP
- Menetapkan dasar dan program mekanisasi ladang LPP.
- Mengawasi dan melaporkan pelaksanaan program mekanisasi ladang.
- Mengatur maklumat dan memantau perlaksanaan program mekanisasi ladang LPP dan PP.
- Menyelaras keperluan penyelidikan dalam mekanisasi dan automasi kerja-kerja di ladang
- Mengaturkan mesyuarat dengan jabatan dan agensi yang terlibat memberi perkhidmatan kejenteraan.
2. Peringkat LPP Negeri
- Memantau perlaksanaan program mekanisasi ladang LPP di peringkat negeri
- Mendapatkan maklumat, keperluan, isu dan masalah dari PPK.
- Mengaturkan mesyuarat penyelarasan untuk mengatasi masalah dalam operasi kejenteraan.
- Isu dan masalah yang tidak dapat diselesaikan dimajukan ke Ibu Pejabat LPP
3. Peringkat Daerah/PP/PPN Jentera
- Mendapatkan keperluan jentera untuk unit-unit peladang kelompok, mini estet dan kumpulan pengeluar.
- Mengatur dan menjadualkan perkhidmatan jentera untuk peladang-peladang
Faedah dan Impak
Antara faedah dan impak daripada perlaksanaan perkhidmatan ini ialah:
- Mempercepatkan sesuatu proses pengeluaran dalam bidang pertanian.
- Menjimatkan kos pengeluaran ladang berbanding yang diusahakan secara tradisional.
- Meningkatkan kecekapan bidang pengeluaran ladang.
- Bidang pertanian dapat diusahakan secara intensif, efektif dan mengikut ekonomi bidangan.
- Mengurangkan dan menjimatkan penggunaan tenaga buruh di ladang.
Penutup
Khidmat mekanisasi dan automasi ladang ini amat diperlukan bagi memastikan aktiviti pertanian dapat diusahakan secara intensif dan efektif serta memberi pulangan kepada pengusahanya dan memberi sumbangan yang bermakna dalam pengeluaran makanan untuk negara.