Program Pembangunan Usahawan dan Pembiayaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada usahawan serta Pertubuhan Peladang (PP), termasuk bantuan geran, geran pemadanan dan pembiayaan mudah dengan objektif utama untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil dan membantu usahawan serta PP memperkasa projek ekonomi yang diusahakan dalam sektor pertanian dan agromakanan. Berikut adalah beberapa bentuk bantuan dan nilai bantuan yang disediakan : -
1. Bantuan Geran:
- Agriprentice : RM20,000 setiap peserta, fokus kepada pengeluaran pertanian, perkhidmatan, pemasaran, dan peningkatan kemahiran. Disasarkan kepada ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berumur 18 hingga 40 tahun.
- Geran Agropreneur Muda (GAM) : Disasarkan kepada usahawan muda berumur 18 hingga 45 tahun yang terlibat dalam sektor tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani. Nilai bantuan terbahagi kepada dua (2) iaitu start-up sehingga RM30,000 dan scale-up sehingga RM50,000.
- Rezeki Tani : RM10,000 setiap peserta dan disasarkan kepada golongan B40 atau miskin tegar.
- Agropelancongan : Bantuan sehingga RM200,000, bagi membesarkan projek agropelancongan sedia ada termasuk pembinaan jalan, menaik taraf bangunan, pengindahan landskap.
2. Bantuan Geran Pemadanan :
- Change Upgrade Product (CUP) : Kadar 70% geran dan 30% komitmen usahawan di mana nilai maksimum geran sehingga RM60,000 untuk usahawan yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM300,000. Skop bantuan meliputi kajian nutrisi, pembungkusan, reka bentuk, peningkatan pengeluaran, penambahbaikan premis untuk pensijilan.
- Program Pemerkasaan Usahawan Peladang (Rise-UP) : Kadar 70% geran dan 30% komitmen usahawan di mana nilai maksimum geran sehingga RM70,000 untuk usahawan peladang dan peladangnita. Program ini bertujuan memperkasakan projek ekonomi usahawan sedia ada dalam sektor pengeluaran tanaman, ternakan, industri asas tani, perkhidmatan dan agropelancongan.
- High Impact Product (HIP) : Kadar 50% geran dan 50% komitmen usahawan di mana nilai maksimum geran sehingga RM200,000 untuk usahawan dengan jualan tahunan melebihi RM300,000. Skop bantuan meliputi kajian produk, pembungkusan, peningkatan pengeluaran, premis dan pensijilan.
3. Bantuan Pinjaman Mudah :
- Akaun Kejenteraan Ladang (AKL)/ Skim Sewa Pajak Tanpa Faedah (SSPTF) : Pembiayaan skim ini sehingga 100% tanpa faedah atau kos kewangan tambahan yang dikenakan. Tempoh pembiayaan tidak melebihi 7 tahun. Terbuka kepada semua PP yang terlibat dalam aktiviti pertanian, pemasaran hasil pertanian, pemprosesan, penggredan, pengeluaran barang-barang perniagaan dan input pertanian.
- Kumpulanwang Pinjaman Pertubuhan Peladang (K3P) : Jumlah maksimum pembiayaan adalah RM5 juta. Tempoh pembiayaan 6 bulan sehingga 5 tahun dengan kadar keuntungan 2% sehingga 4%. Terbuka kepada semua PP yang melaksanakan projek ekonomi jangka pendek, sederhana dan panjang.
- Tabung Pembangunan Usahaniaga Peladang (TPUP) : Terbuka kepada usahawan peladang yang berumur 18 hingga 58 tahun. Nilai pinjaman minimum. RM20,000 sehingga maksimum RM100,000 dengan kadar keuntungan 1% atas baki tahunan. Tempoh pembiayaan sehingga 7 tahun. Skop pembiayaan meliputi sektor pengeluaran tanaman, ternakan, industri asas tani, perkhidmatan dan agropelancongan.
Kepentingan Program :
- Meningkatkan penglibatan usahawan muda dan golongan B40.
- Membantu usahawan serta PP meningkatkan pendapatan melalui bantuan geran dan pembiayaan yang disediakan.
- Mempercepatkan pemulihan ekonomi selepas pandemik COVID-19 dan meningkatkan produktiviti usahawan serta PP.
- Menyokong pembangunan industri agromakanan negara serta mempromosikan pertanian pintar dan penggunaan sumber secara lebih berkesan.
- Membantu dan meringan beban kewangan usahawan serta PP dalam memodali projek ekonomi yang diusahakan .
- Menggalakkan dan menggiat usahawan serta PP untuk mengusahakan dan memperbesarkan projek pengeluaran makanan.
- Menggalakkan usahawan serta PP mengusahakan projek berskala komersil dan berteknologi tinggi.
- Memudahkan usahawan serta PP mendapatkan pinjaman dalam tempoh masa yang singkat.
Skop dan Cara Pelaksanaan :
- Bantuan geran dan geran pemadanan disediakan bagi keperluan projek Pengeluaran Pertanian (Tanaman, Ternakan dan Akuakultur), Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT), Perkhidmatan (Kulinari, Pengangkutan dan Pemasaran), Agropelancongan, Bimbingan Latihan serta Promosi melalui peruntukan pembangunan yang disalurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) .
- Pinjaman pula boleh dipohon oleh peladang untuk membiayai kos operasi projek yang dijalankan. PP boleh memohon pembiayaan daripada Tabung K3P dan Tabung AKL/ SSPTF yang diuruskan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan dan Pembiayaan, Ibu Pejabat. Sumber pinjaman kepada usahawan pula boleh dipohon melalui Akaun Tabung TPUP di PP terhad kepada RM20,000 dan ke bawah serta Akaun Tabung TPUP di LPP bagi nilai pinjaman RM20,001 sehingga RM100,000.
- Pertubuhan Peladang dan usahawan perlu melengkapkan borang permohonan berserta kertas cadangan projek dan dikemukakan ke LPP Ibu Pejabat melalui LPP Negeri masing-masing. Jawatankuasa Pembiayaan LPP Negeri hendaklah memberi ulasan dan sokongan bagi setiap permohonan oleh Pertubuhan Peladang dan usahawan.
Kemaskini Terakhir: 11 Oct, 2024